Wednesday

Berapa Ramai Lelaki Yang Boleh Menjadi Imam?


Untuk Lelaki Dari Wanita... Lelaki Mesti Baca...

Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar.
Kalau lelaki tak boleh jadi imam, kita... kata okay saja. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati. "Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!"

Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang gadis juga rakan sejawat kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Sementelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.

"Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya Si lelaki lagi dengan penuh angkuh dan bersemangat. "Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak.  

Wanita sepatutnya buat begitu juga. Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam. Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup. Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai. Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.

Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami. Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam.  Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu. Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal. Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan.

Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga. Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga. "Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus beberapa kawan wanita yang lain. Betul juga.

Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembah yang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini. 

            Ternyata ramai yang menjawap tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam. Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa queen control. Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apalah salahnya lelaki juga disuruh belajar.

Kelebihan Menuntut Ilmu


Sesungguhnya menuntut ilmu itu banyak suruhan dan kelebihannya, namun terdapat dalil-dalil yang menunjukkan kelebihan menuntut ilmu di dalam Al-Quran dan juga sunnah Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya sesutu bab daripada ilmu yang dipelajari oleh seorang lelaki terlebih baik baginya daripada dunia dan apa yang di dalamnya” dan firman Allah Taala ertinya : “Maka tanya olehmu akan orang yang ahli zikri (orang yang alim) jikalau kamu tidak mengetahui”.

            Di samping itu terdapat juga fadhilat-fadhilat menuntut ilmu yang terlebih baik daripada beribadat sunat yang disabdakan oleh Nabi SAW ertinya : “Demi Tuhan bahawa jika kamu pergi menuntut ilmu daripada sesuatu bab terlebih baik daripada kamu sembahyang seratus rakaat,” dan terdapat juga daripada hadis Abi Zarr RA katanya ertinya: “Setiap permulaan daripada orang yang mengajar ilmunya itu terlebih afdhal daripada sembahyang seribu rakaat dan mengunjungi seribu orang sakit dan menghantar seribu jenazah kemudian ditanya Rasulullah: Adakah ia terlebih afdhal daripada membaca Al-Quran dijawabnya : “Tidak manfaat membaca Al-Quran itu tanpa ilmu.” Seperti kata Imam Syafie RA, menuntut ilmu itu terlebih baik daripada sembahyang sunat. Dan Abu Darda’ juga telah berkata: “Demi Tuhanku bahawasanya aku belajar sesuatu ilmu terlebih kasih bagiku daripada beribadat setiap malam (qiamullail).

            Di samping itu, banyak hadis yang disabdakan oleh Nabi SAW tentang kematian orang dalam menuntut ilmu antaranya, “Barangsiapa yang mati di dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka antaranya dan antara nabi-nabi di dalam Syurga adalah satu darjat.” Saidina Umar RA telah berkata sesungguhnya mati seribu orang yang kuat beribadat setiap malam kepada Allah Taala dan berpuasa setiap hari terlebih mudah daripada mati seorang yang alim atau mengetahui perkara-perkara  yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah.

            Namun begitu, Nabi SAW juga telah menggariskan kepada beberapa peringkat kelebihan ilmu dengan sabda Baginda, “Sesungguhnya ilmu itu adalah umpama gedung dan anak kuncinya adalah pertanyaan, maka tanyalah kerana diberi pahala kepada empat jenis orang di dalam ilmu pertama, kepada orang yang suka bertanya akan sesuatu ilmu, kedua kepada orang yang mengetahui sesuatu ilmu dan mengajar ketiga kepada orang yang mendengar orang yang mengajar ilmu keempat kepada orang yang suka dan kasih akan majlis ilmu. Dan Atta’ telah berkata sesungguhnya perhimpunan orang yang duduk di dalam majlis ilmu itu iaitu menghapuskan tujuh puluh perhimpunan majlis lagha (sia-sia).

            Meneliti kepada kepentingan ilmu seperti yang tersurat, maka seharusnya bagi kita sebagai ummah terbaik mengambil kesempatan berharga di dalam kehidupan ini merancakkan lagi pemburuan ilmu. Mudah-mudahan masa yang berbaki dimanfaatkan seoptimum mungkin demi masa depan dakwah yang semakin mencabar.

Jangan Buka !!!

Daulah Islam

Daulah Islam

Singgah Sana

(Jom Buka) Realiti Umat Islam Zaman Sekarang‬‏