Allah berfirman :
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta
sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah)
kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan
sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa,
padahal kamu mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah : 188)
Ayat ini turun berkenaan dengan Imriil Qais bin
'Abis dan 'Abdan bin Asyma' al-Hadlrami yang bertengkar dala soal tanah. Imriil
Qais berusaha untuk mendapatkan tanah itu menjadi miliknya dengan bersumpah di
depan Hakim. Ayat ini sebagai peringatan kepada orang-orang yang merampas hak
orang dengan jalan bathil.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim yang bersumber
dari Sa'id bin Jubair.)
Imam ibn Al-‘Arabi
Imam
ibn Al-‘Arabi menegaskan ayat ini menerangkan satu dari kaedah utama dalam
muamalat Islam, juga merupakan asas bagi semua kontrak pemilikan. Erti
‘makan’ didalam ayat tersebut adalah merangkumi penerimaan, pemberian dan
penguasaan, digunakan lafaz ‘makan' sebagai suatu perumpamaan.
Manakala maksud al-bathil
menurut Ibn Al-Arabi :
“ Apa sahaja yang tidak
halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya yang tiada satu
faedah dan manfaat (buat Islam).”
Imam Al-Qurtubi
Imam Al-Qurtubi
memasukkan perjudian, pertaruhan, penipuan, rampasan, khianat, mengingkari hak
orang lain, mengambil hak orang lain tanpa restui, upah pelacuran, upah tukang
tilik, bomoh, harga dan untung jualan arak, babi dan banyak lagi, semua ini
tergolong dalam makanan harta secara bathil.
Imam Al-Qurtubi
menyimpulkan bahawa :
“Sesiapa yang memakan
harta orang lain tidak di atas landasan izin syarak, maka dia telah makan
secara bathil.”
Syeikh Rashid Ridha
Syeikh Rashid Ridha
meluaskan lagi bentuk dan erti ‘bathil’ kepada :
“Apa sahaja (bayaran)
yang tidak mempunyai timbal balik yang wajar (yang punyai nilai pada pandangan
syarak), lagi sebenar, maka ia tergolong dalam erti bathil.”
Kalau Menang Di Mahkamah?
Mungkin ada yang mendakwa
bahawa melalui proses kehakiman dan mahkamah, mereka berjaya memperolehi hak ke
atas sesutau harta yang pada asalnya
bukan miliknya. Namun, hasil kemenangan tersebut, kini ia telah sah menjadi
haknya hasil pengiktirafan hakim atau qadhi.
Al-Qurtubi menolak
dakwaan tersebut dengan katanya:
“Barangsiapa yang memakan secara bathil, walaupun jika seorang qadhi
(hakim) memutuskan kemenangan kepadamu, sedang kamu sesungguhnya tahu kamu (hakikatnya) bersalah (menipu), maka yang
haram tidak akan sesekali menjadi halal dengan keputusan hakim itu, dia hanya
memberikan hukum berdasarkan zahir dan bukti sahaja, dan inilah (hukum yang)
ijma’ dalam bab harta.”
(Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran,
2/338)
Pandangan itu jelas
bersumberkan hadis Nabi :
“Sesungguhnya
aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan
olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian
lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari
sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak
yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah
kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka"
(Riwayat
Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain: Rujuk Naylul Awtar, 8/632,
no
3920 )
Kesimpulan.
Demikian
perlunya umat Islam mengambil berat perihal pendapatan mereka, kita bimbang
ambil berat ini semakin suram apabila objektif mengumpul dan memperbanyakkan
harta menjadi target utama di dalam kehidupan. Apabila itu berlaku, kita akan
dapati gejala negatif ini bertambah. Kerana itulah para pemimpin yang berkuasa
di semua peringkat perlu segera kembali berperanan untuk mengikat dan
mengakarkan hati rakyat jelata dengan pembalasan baik buruk di akhirat. Hanya
dengan demikian, keharmonian hakiki akan mampu dikembalikan.
Ringkasannya,
termasuk juga dalam erti memakan atau menerima dan mengambil harta secara batil
antaranya:-
a. Menjual sesuatu yang memudaratkan masyarakat seperti menjual ubat
dan makanan yang telah tamat tempoh, kesan buruk akibat tercemar atau mempunyai
aib tapi disembunyikan,
b. Upah menjampi yang bercanggah dengan Islam,
c. Mengadakan kursus motivasi dengan ilmu-ilmu karut dan meragukan
seperti sandaran ramal masa hadapan sama ada melalui tarikh lahir, rupa paras
dan yang sepertinya,
d. Menyalahgunakan pekerja sehingga mereka disuruh melakukan tugasan
yang tidak dibayar setimpal serta dizalimi dari sebarang kenaikan walau mempunyai
merit yang tinggi dan baik.
e. Mengambil upah hiburan (entertaintment cost) dari syarikat-syarikat
sebagai pra-syarat untuk memastikan peluang kontrak dan tender sentiasa baik.
f. Sengaja dengan niat berhutang dengan niat untuk tidak membayar
semula, dan sentiasa beralasan untuk melepaskan diri dari pembayaran semula
hutangnya, walau dalam keadaan mampu.
g. Individu yang tidak termasuk dalam kategori asnaf zakat tetapi
menerima wang zakat. Mereka juga adalah pemakan harta secara bathil.
h. Individu yang mengambil dan menikmati harta waqaf secara peribadi
dan menjadikannya sebagai hak miliknya secara tetap. Ini juga ditegah dan
termasuk dalam harta bathil.
i. Memakan dan menyalahgunakan harta anak yatim piatu yang masih
kecil.
j. Hadiah-hadiah yang diberi oleh pelanggan atas alasan kononnya
berterima kasih atas kecekapan dan bantuan kita selaku pekerja yang menyiapkan
kerja tepat waktunya atau segera. Ia dinamakan wang ‘ghulul’ atau ‘khianat’
oleh Nabi s.a.w.
k. Mencipta dan menghasilkan filem, novel, penulisan majalah, artikel,
kartun, animasi, drama, buku, cerpen dan sepertinya yang meraikan nafsu
manusia, bertemakan nafsu dan hiburan bagi meraih keuntungan dari undstri nafsu
yang tiada bertepian. Keuntungan yang diperolehi hasil dari hasil 'seni' yang
merosakan jatidiri kemanusian, ini tentulah tergolong di dalam harta bathil.
l. Mencuri dan mengambil kesempatan di atas musibah yang sedang
menimpa orang lain, lalu berganda-gandalah dosa mereka.
Akhir
sekali nabi mengingatkan kita bersifat unik khususnya di akhir zaman di mana
terlalu ramai yang kemaruk wang bathil, sabda Nabi:
“Daripada
Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, dia berkata: “Saya mendengar Nabi Shallahu
‘alaihi wasallam bersabda : “Seandainya manusia memiliki dua lembah yang penuh
dengan harta, nescaya dia mencari (lembah harta) yang ketiga. Tiada yang
memenuhi isi perut manusia, kecuali tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang
bertaubat. “
(
Al-Bukhari)