Disebutkan
dalam Atsar, kata-kata sahabat yang menerangkan tanda-tanda sudah dekatnya
kemunculan Imam Mahdi. Menurut riwayat apabila sudah dekat kedatangan Imam
Mahdi akan banyak terjadi peperangan, banyak bencana dan banyak bala.
Pada masa itu nanti semakin banyak terjadi
pembunuhan dan peperangan. Orang mahu berbunuh-bunuhan kerana masalah remeh-temeh.
Antara satu kumpulan dengan kumpulan lain, begitu juga antara satu negara
dengan negara lain berperang kerana masalah kecil. Bencana semakin banyak berlaku, seperti gempa bumi, letusan gunung
berapi, angin puting beliung, banjir dan sebagainya. Begitu juga penyakit,
semakin banyak jenis penyakit dan semakin ramai manusia yang berpenyakit.
Menjelang datangnya Imam Mahdi
nanti akan muncul api yang besar dari
arah Masyriq (tempat terbitnya matahari) dan menerangi seluruh ufuk selama
tiga malam. Pada masa itu juga nanti lengkaplah jumlah orang-orang yang mengaku
dirinya sebagai nabi berjumlah enam
puluh orang. Masa itu akan tenggelam kampung-kampung di negeri Syam. Akan
datang angin yang hitam yang me-nyebabkan manusia ramai yang mati. Sungai Furat
di Iraq akan melimpah (banjir) yang menyebabkan kota Kufah tenggelam. Akan
terdengar suara seruan dari langit. Suara itu dapat didengar oleh semua manusia
yang ada di dunia. Dan yang paling menghairankan lagi, suara itu dapat difahami
oleh semua orang.
Orang yang hanya tahu atau faham bahasa Inggeris faham mendengar seruan
dari langit itu, begitu juga pengguna bahasa Cina, bahasa India, bahasa Melayu,
bahasa Arab dan sebagainya. Mungkin juga panggilan itu dalam bahasa Arab tetapi
semua orang mendengar dalam bahasanya sendiri.
Terdengar suara pada tengah
malam bulan Ramadan yang menyebabkan semua orang yang tidur terbangun atau
terperanjat. Banyak pembunuhan dan banyak peperangan berlaku sehingga darah
mengalir di jalan-jalan raya. Orang semakin berani berbuat jahat tidak kira
tempat dan waktu.
Pada masa itu nanti yang
diangkat menjadi pemimpin pun terdiri dari orang-orang jahat. Pemimpinnya jahat
dan orang yang dipimpin pun sama-sama jahat. Dalam hadis dikatakan ramai
manusia pada masa itu nanti yang beriman pada waktu petang tetapi esok paginya
sudah menjadi kafir. Namun demikian ramai ulama yang mengertikan hadis itu
dengan kafir nikmat.
Bukan bererti petang dia masih Islam esok harinya sudah Nasrani atau
Yahudi misalnya. Maksud hadis itu menurut ulama menunjukkan banyaknya orang
yang kafir nikmat. Apa-apa nikmat dan pemberian Allah tidak disyukuri dan tidak
digunakan kepada yang diredai Allah SWT.
Menjelang turunnya Imam Mahdi
dikatakan pasukan tentera dari Turki akan datang ke jazirah Arab. Mereka datang
untuk menakluki tanah-tanah jazirah Arab. Mereka bunuh pemimpin-pemimpinnya dan
mereka kuasai daerahnya.
Dalam
keadaan dunia yang buruk dan kacau itu tiba-tiba muncullah Imam Mahdi. Beliau
datang untuk meneruskan atau menyambung perjuangan datuknya (Muhammad s.a.w)
untuk mengatasi kekalutan dan kekacauan yang dihadapi umat. Semua makhluk yang
ada di langit dan yang ada di bumi merasa gembira dengan kedatangan Imam Mahdi
itu. Bukan hanya manusia yang gembira, tetapi juga binatang buas, burung-burung
dan makhluk lainnya.
Imam Mahdi itu adalah seorang
lelaki yang soleh dari keluarga Rasulullah s.a.w yang ada ketika itu (pada masa
munculnya) nanti. Dia diangkat orang menjadi pemimpin ketika manusia di seluruh
dunia nanti sudah begitu buruk keadaannya.
Mereka mengangkat Imam Mahdi
menjadi pemimpin ketika itu nanti setelah melihatnya berilmu, berakhlak dan
mempunyai banyak kelebihan. Manusia yang ada pada zaman itu nanti mengharap
semoga dia dapat mengembalikan dunia kepada kebaikan. Dengan perasaan yang
cukup berat, dia (Imam Mahdi) menerimanya. Dia sendiri tidak tahu yang
dirinyalah Imam Mahdi yang ditakdirkan Allah SWT untuk diutus ke dunia. Begitu
juga manusia sedunia yang telah mengangkatnya menjadi pemimpin dunia, tidak
tahu bahawa orang yang mereka angkat itu adalah Imam Mahdi.
Kerana tidak tahu yang dirinya
Imam Mahdi dan tidak berapa suka menjadi pemimpin, sudah tentu dia pun tidak
ada berkempen mengajak orang untuk mengangkatnya. Setelah dia memimpin dunia
dengan baik barulah orang tahu bahawa itu adalah Imam Mahdi. Dia
tunjukkan perilaku yang baik, dia ajak manusia mengerjakan yang makruf dan
meninggalkan yang mungkar, kemudian orang pun mengikuti arahannya.
Mengapa
manusia yang sudah begitu lama bergelimang dengan dosa mahu diajak kepada
kebaikan? Ini tentunya samalah dengan zaman jahiliah dahulu, yang mana keadaan
masyarakat sudah begitu buruk, tiba-tiba datang seorang utusan Allah untuk
membaiki keadaan dunia, orang pun terus mengikutnya.
Manusia mahu diajak kepada
kebaikan tentunya setelah melihat orang yang mengajak itu mempunyai banyak
kelebihan, dan yang paling penting orang yang mengajak itu berjuang dengan
ikhlas dan sesuai kata-kata dengan perbuatannya. Jadi nanti manusia seluruh
dunia mengikut ajarannya kemudian dia pun mengatur dunia dengan baik.
Keadilan dapat ditegakkan
seperti zaman Rasulullah s.a.w. dahulu. Kerana keadaan masyarakat sudah baik
dan sudah beriman, malapetaka dan musibah berkurangan. Bahkan rahmat Allah pula
yang datang dan rezeki melimpah ruah. Setelah dunia aman dan makmur serta
melihat pemimpinnya tidak terpedaya oleh kesenangan dunia, tahulah mereka
bahawa yang memimpin mereka itu adalah Imam Mahdi.
Waallahua’lam
1 comment:
Mohon pencerahan kerana kita tidak di suruh mencari dan menanti kedatangannya Imam Mahdi tetapi kita di perintah di landasan Al Quran & Sunnah, ada tidak ada Imam Mahdi pada masa hidup kita, selagi Al Quran & Sunnah adalah landasan kita, kita dijanjikan berita gembira oleh Rasullulah saw. Apakah yg lebih penting buat kita, membenarkan dan mengamalkan Al Quran & Sunnah dan istiqomah dgnnya sehingga ajal menjemput atau kita tercari2 siapa Imam Mahdi?
Post a Comment