Ada riwayat Muslim yang diterima dari
Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar Muazzin Rasulullah s.a.w
memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah
s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam
bergurau Baginda tertawa dan berkata:
“Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian
berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?”
Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Rasulullah
s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin
menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada
kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah
seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada
bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan
itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.
Katanya
dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang
datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang
luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa
berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah
pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu
mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak
mana jantina dan duburnya.
Mereka
bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab:
“Saya adalah Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu
hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk
menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.
Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di
sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya
mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke
tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak
kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab:
“Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya:
“Siapa kamu ini?”
Mereka
menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki
kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas
dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau
yang tuan tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan
binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali
jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya
dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk
menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”
Itulah
sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan
dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum
menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu
kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam.
Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu
menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka menjawab
bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu
tidak berbuah.”
Orang
besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka
menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku
airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu
berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata:
“Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?”
Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu
bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab:
“Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau
begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa
Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang
besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat
kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang
aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan
diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat
puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku
tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat,
maka aku tidak dapat menembusinya.”
Kata
Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar
sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah.
Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?”
Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata lagi:
“Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu
bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu
tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia
ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah
timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah
timur.
Rasulullah
s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang
mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.
Waallahua’alam
No comments:
Post a Comment