Diriwayatkan dari Ibnu Hubaiq: Riwayat dari
ayahku yang berkata, Yusuf bin Asbath pernah bertemankan seorang pemuda dari
Teluk, yang tidak pernah berbincang-bincang dengannya (Yusuf) selama sepuluh
tahun. Akan tetapi, Yusuf mengetahui kerisauan dan kecemasan hati pemuda itu
dan juga ketekunannya melakukan ibadat pada siang mahupun malam hari. Kepada
pemuda itu Yusuf pernah berkata, “Apa sebenarnya pekerjaanmu dahulu, sehingga
aku lihat dirimu selalu tertunduk menangis?”
“Dahulu
aku adalah seorang penggali kubur,” jawabnya.
“Apa
yang pernah kamu lihat saat berada di liang lahat?” tanya Yusuf meminta
penjelasan.
“Aku
melihat rata-rata muka mereka dipalingkan dari arah kiblat, kecuali beberapa
orang saja,” kata pemuda itu.
“Kecuali
beberapa orang saja?” tanya Yusuf dengan penuh hairan.
Sakit Gara-Gara Cerita Penggali Kubur.
Setelah berkata demikian, Yusuf pun gelisah
dan fikirannya tidak tenteram. Oleh itu dia memerlukan ubat untuk menyembuhkan
kegelisahannya.
Ibnu Hubaiq meneruskan ceritanya, “Ayahku
berkata: Kami lalu memanggil doktor Sulaiman untuk mengubati Yusuf. Setelah
mendapatkan perawatan yang teratur, Yusuf pun sihat kembali seperti sediakala
dan dia pun berkata, “Kecuali hanya sedikit saja!” Yusuf terus-menerus
mengucapkan demikian, dan lantaran itu dia mendapatkan perawatan terus agar
fikirannya normal kembali.
Ketika doktor Sulaiman selesai mengubati
dan hendak pulang, Yusuf berkata kepada orang-orang yang menungguinya, “Apa
yang mesti kalian berikan kepada doktor itu?”
“Dia
tidak mengharapkan apa-apa darimu,” jawab kami semua.
“Subhanallah!
Kalian telah berani mendatangkan doktor kerajaan, akan tetapi, aku tidak
memberikan sesuatu pun kepadanya,” kata Yusuf. “Berikan kepadanya wang beberapa
dinar!” kata kami kepada Yusuf.
“Ambillah
ini dan berikan kepadanya serta tolong beritahukan kepadanya bahawa aku tidak
memiliki sesuatu pun, kecuali sekadar ini, agar dia tidak berprasangka bahawa
aku ini mempunyai harga diri yang lebih rendah daripada para raja,” kata Yusuf.
Tanah Yang Akan Kita Masuki.
Yusuf kemudian menyerahkan sebuah beg
mengandungi wang sebanyak lima belas dinar dan diberikannya kepadaku.
Selanjutnya kuserahkan wang tersebut kepada doktor Sulaiman atas pertolongannya
kepada Yusuf.
Sejak
peristiwa itu Yusuf akhirnya tekun menganyam tikar dari daun kurma hingga akhir
hayatnya.
Dan diriwayatkan dari Hubaiq yang
mengatakan: Yusuf bin Asbath pernah berkata, “Dari ayahku, aku mendapatkan
harta waris berupa tanah seharga lima ratus dinar yang terletak di daerah
Kufah. Akan tetapi, pada akhirnya terjadilah perselisihan di antara
saudara-saudaraku, kerana itu aku meminta pendapat kepada Hasan bin Shaleh.
Hasan bin Shaleh lalu berkata kepadaku, “Aku tidak ingin kamu terlibat
pertentangan dengan mereka, hanya disebabkan masalah tanah yang akan kita
masuki kelak.”
Demikianlah atas saranan Hasan bin Shaleh
itu, maka kurelakan tanah itu kepada mereka secara ikhlas kerana Allah SWT
semata sebab aku menyedari bahawa diriku adalah bahagian daripada tanah.
Wallahu’alam.
Dipetik
Dari Buku: 2002 Memori - Kumpulan Cerita Ajaib, Aneh & Mencuit Hati
Pengarang:
Abu Hikmah Al Husni