Sunday

Ghazwah al-Ahzab

Sahabat Yang Di Kasihi - http://hasnulhadiahmad.com/perang-al-ahzab/
Ghazwah al-Ahzab dinamakan juga dengan Ghazwah Khandak(menggali parit). Ia berlaku pada Syawal, tahun ke-5 hijrah.
Sebabnya, apabila Bani Nadhir selesai diusir, beberapa orang ketua mereka datang ke Makkah mengajak dan mengapi-apikan Quraisy untuk memerangi Rasul s.a.w.. Quraisy telah menyahut ajakan itu. Seterusnya pemimpin-pemimpin Yahudi pergi ke Ghatfan. Di sana,Bani Fazzarah, Bani Murrah dan Asyjak telah menerima ajakan mereka dan berangkat menuju ke Madinah. Apabila Baginda s.a.w. mendengar kedatangun angkatan mereka,Baginda bermesyuarat dengan para sahabat. Salman telah mencadangkan kepada Baginda supaya digali parit di sekeliling Madinah. Lalu Rasul s.a.w. memerin-tahkan agar digali parit.Baginda sendiri turut terlibat menggali parit-parit itu.
Apabila Quraisy dan sekutu mereka sampai, mereka merasa terpegun dengan parit-parit yang mereka saksikan. Ini kerana Arab tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam penggalian parit seperti ini. Bilangan tentera bersekutu Quraisy sejumlah 10,000 orang sementara bilangan orang Islam hanya 3,000 orang. Huyai bin Akhtob salah seorang Yahudi yang berperanan menyemarakkan semangat Quraisy dan sekutu-sekutunya menentang orang Islam, telah pergi menemui Kaab bin Asad,penghulu Bani Quraizoh. Dia meminta beliau melanggar perjanjian damai antara Bani Quraizoh dengan orang Islam. Nabi s.a.w. terfikir untuk melakukan perdamaian dengan Bani Quraizoh dengan cara membayar satu pertiga hasil buah-buahan Madinah kepada mereka.Namun kaum Ansor dengan rasa megah terhadap agama mereka, menolak untuk tunduk kepada pihak Bani Quraizoh yang telah belot kepada perjanjian dan pakatan.
Peperangan bermula apabila beberapa pahlawan berkuda musyrik berjaya melepasi parit tersebut di salah satu bahagiannya yang sempit. Orang Islampun bertempur dengan mereka. Selanjutnya, Nu’aim bin Mas’ud bin ‘Amir datang bertemu Rasul s.a.w. memberitahu Baginda bahawa dia telah memeluk Islam, sedangkan kaumnya tidak mengetahui keislamannya. Beliau juga merupakan kawan kepada Bani Quraizoh. Mereka mempercayai dan meyakininya. Beliau berkata kepada Rasul s.a.w.:
“Arahkan aku apa yang kamu mahu.”
Maka Rasul s.a.w. bersabda kepadanya:
“Di kalangan kita, kamu hanyalah seorang sahaja. Oleh itu, sekiranya kamu dapat, lakukanlah sesuatu untuk mengalahkan musuh. Sesungguhnya perang adalah tipudaya”.
Justeru itu, Nu’aim menggunakan kelicikannya sehingga berjaya memecahbelahkan pakatan Quraisy dan sekutunya dengan Bani Quraizoh. Dia menimbulkan prasangka dalam hati setiap kumpulan terhadap kumpulan lain. Allah telah menghantar angin kencang ke atas tentera bersekutu pada suatu malam yang amat sejuk, sehingga periuk-periuk bertaburan dan khemah-khemah mereka terkoyak. Jiwa tentera bersekutu diselubungi rasa takut, lalu mereka berangkat pulang pada malam itu juga. Apabila pagi, orang Islam tidak men-dapati seorang pun orang musyrik yang masih berada di situ.
Dalam peperangan ini, Allah menurunkan beberapa ayat dalam kitab-Nya yang Mulia,yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab),lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.”
“Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.”
“Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.”
(Maksud Al-Ahzab: 9-11)
Kemudian Allah menjelaskan pendirian golongan munafik, sikap mereka yang tidak membantu dan tindakan mereka yang menarik diri dari medan pertempuran. Seterus-nya Allah menerangkan pula perihal orang-orang mukmin,yang bermaksud:
“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzab, berkatalah mereka:” Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya”. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.”
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka, pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun(Berlakunya yang demikian).”
“supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Dia kehendaki, atau Dia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
“Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa”.
(Maksud Al-Ahzab’: 22-25)

Jangan Buka !!!

Daulah Islam

Daulah Islam

Singgah Sana

(Jom Buka) Realiti Umat Islam Zaman Sekarang‬‏